HEBOH di media sosial sejak semalam mengenai restoran milik pengasas kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri telah diserbu penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada malam Rabu.
Difahamkan, premis berkenaan diserbu kerana dikatakan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dan beberapa peralatan termasuk meja yang terletak di kaki lima telah dirampas kerana didapati menghalang laluan.
BACA : Restoran Milik Aliff Syukri Diserbu Pihak Berkuasa
Rentetan daripada kejadian itu, Aliff tampil menjelaskan keadaan dan punca sebenar mengapa beliau meletakkan meja-meja tersebut di kawasan berkenaan.
Menurut Aliff, beliau berasa kasihan terhadap ramai pelanggan yang datang terpaksa menunggu giliran dan beratur panjang untuk makan di restoran berkenaan.
Disebabkan hal itu, Aliff mengambil inisiatif menambah meja dengan meletakkannya di kaki lima berhadapan premis tersebut diusahakannya dengan modal RM200,000 itu.


“Saya kasihan melihat ramai pelanggan yang beratur. Ada ibu-ibu yang mengandung, dengan anak-anak kecil dan warga emas terpaksa berbaris panjang menunggu giliran untuk makan di Rumah Makan Terlajak Laris.
“Jadi, saya tambah meja dengan meletakkannya di tepi laluan. Bukanlah di tengah-tengah jalan tetapi pihak berkuasa merampas meja-meja saya,” kata Aliff dipetik sebuah portal online.
Dirasmikan pada 23 Januari lalu, Romah Makan Terlajak Laris terletak di Jalan PJU 5/20e Kota Damansara itu dilaporkan menyediakan 101 sajian, termasuk selera Siam, Melayu, Banjar, Jawa dan Bugis.
Pun begitu, Aliff berkata sebagai seorang usahawan beliau mengakui kesalahan diri dan akur dengan denda yang dikenakan terhadap dirinya. – MYNEWSHUB.CC/AM