LIKU perjalanan dalam mencipta Malaysia Book of Records (MBOR) oleh sekumpulan orang kelainan upaya (OKU) ini menghadapi detik-detik cemas apabila diserang dengan seekor gajah.
Samsul Anuar Amat Kasi, 47, Guru Kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau namun berjaya menamatkan kayuhan 1,578.3 kilometer (km) selama 16 hari bermula 10 Mac lalu dari Teluk Kemang dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Intan Perdana.
Dikenali sebagai Cikgu Samsul, kejadian itu tidak melemahkan semangat beliau menyelesaikan misi kayuhannya bersama peserta daripada pelbagai jabatan kerajaan, termasuk dua rakan OKU buta dan kudung kaki kanan.

Lapor Berita Harian, insiden tersebut berlaku pada hari ketujuh kayuhan semasa perjalanan dari Jeli, Kelantan, ke Gerik, Perak.
Sebaik tiba di kilometer 107.2, beliau mendengar jurumudinya, Huzaimi Abdullah, menjerit memberi amaran mengenai kehadiran gajah.
“Belum sempat bertanya kepada jurumudi, tiba-tiba saya terasa seperti disepak lalu terpelanting jatuh ke dalam longkang di tepi jalan. Ketika itu, masing-masing tidak dapat berbuat apa-apa tetapi mendengar suara menyuruh saya meniarap menundukkan kepala.
“Bagaimanapun, polis pengiring berjaya mengalihkan tumpuan gajah itu yang kemudian meninggalkan kami. Mujur saya dan dua lagi peserta hanya cedera ringan walaupun basikal kami terpaksa dibaiki untuk meneruskan perjalanan ke destinasi mengikut perancangan asal,” katanya.
Kejayaan rekod kayuhan basikal secara berkumpulan (cacat visual) paling jauh ternyata telah mencipta sejarah dan diabadikan dalam MBOR.
Menurutnya lagi, pencapaian itu sekali gus memecahkan rekod peribadinya melakukan kayuhan sejauh 316km pada Jelajah Seluruh Negeri Sembilan 2015.
Samsul ditimpa penyakit yang dihadapinya kini sejak 2004 ketika beliau sakit. Namun, beliau berazam mahu menyumbang bakti kepada negara tanpa mengira penyakit yang dihadapinya sebagai penghalang.
Dua rakannya, Mohd Shahir Ramli, 28, dan Azman Yeop Akil, 48, dengan dibantu jurumudi masing-masing turut sama-sama merealisasikan rekod dalam MBOR itu.
Program kali ini dijayakan dengan kerjasama Persatuan Sukan OKU Penglihatan Negeri Sembilan dan mendapat tajaan pihak seperti kerajaan negeri serta Kementerian Belia dan Sukan.
Majlis Penyampaian Sijil MBOR telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar, Pengarah Pendidikan Negeri, Pkharuddin Ghazali dan Pengurus MBOR, Lee Pooi Leng, semalam. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

