KEPERLUAN asas rakyat terutama bekalan air tidak boleh dipolemikkan sebagai isu politik dan kerajaan Selangor tidak sepatutnya menyalahkan pihak lain atas kesilapan serta ketidakcekapan dalam mentadbir.
Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata menyalahkan orang lain dilihat sudah menjadi kelaziman pembangkang semata-mata untuk mengelirukan rakyat.
“Tindakan Menteri Besar Selangor menuding jari menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Persekutuan adalah tidak wajar.
“Kerajaan Selangor sebaliknya harus segera fokus dalam menyelesaikan isu itu, bukan bertindak seperti baling batu, sembunyi tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah, Irmohizam berkata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh turut menyalahkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (SPLASH), yang juga syarikat milik kerajaan negeri, atas masalah gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang.
Kerajaan negeri memegang 30 peratus ekuiti SPLASH melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan kegagalan dalam mencapai persetujuan untuk melaksanakan pengambilalihan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air (4) oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin menyebabkan rakyat sengsara.
“Sampai bila rakyat perlu dibebani dengan krisis air dan lebih mengecewakan apabila manifesto Pakatan Harapan, langsung tidak menjurus ke arah penyelesaian krisis dan ia tidak relevan dalam menangani kesusahan rakyat, sebaliknya hanya bersifat populis untuk menambat hati pengundi,” katanya. – BERNAMA

