KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor diminta memberi penjelasan terbuka sama ada benar terdapat keputusan untuk melonggarkan syarat pembinaan atau pemutihan rumah anutan bukan Islam di negeri itu.
Pengerusi Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah), Firdaus Wong Wai Hung berkata, kerajaan Selangor perlu menjelaskan apakah dasar dan asas undang-undang yang digunakan bagi cadangan tersebut.
Kata beliau, rakyat perlu juga diberi penjelasan berapa jumlah rumah anutan yang terlibat dalam proses pemutihan dan bagaimana kepentingan penduduk setempat serta pematuhan Akta 172 akan dipelihara.
“Keharmonian antara agama tidak akan terpelihara dengan mengetepikan undang-undang atau memberikan layanan istimewa kepada mana-mana pihak.
“Sebaliknya, keharmonian yang sebenar hanya dapat diwujudkan apabila semua pihak menghormati Perlembagaan, mematuhi undang-undang dan menerima bahawa setiap pembangunan hendaklah tertakluk kepada proses yang adil serta telus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan media itu timbul susulan pendedahan Council of Churches of Malaysia (CCM) serta Ahli Parlimen Klang bahawa hasil perbincangan dengan kerajaan Selangor telah membawa kepada cadangan memberikan pelbagai kelonggaran terhadap pembinaan dan pemutihan rumah anutan agama bukan Islam.
Terdahulu, Firdaus Wong berkata, sekiranya dakwaan tersebut benar, ia satu perkembangan yang amat membimbangkan kerana melibatkan isu pematuhan undang-undang, integriti pentadbiran dan perancangan bandar yang tidak boleh dikompromi atas alasan politik.
Menurut beliau, setiap cadangan pembinaan rumah anutan hendaklah ditentukan berdasarkan bilangan penganut sebenar, taburan penduduk setempat, kapasiti rumah anutan sedia ada serta keperluan yang boleh dibuktikan secara objektif.
Ujar beliau, perancangan pembangunan tidak boleh dibuat berdasarkan tekanan politik, tuntutan kumpulan tertentu atau sentimen semata-mata tanpa mengambil kira data kependudukan dan kemudahan yang telah tersedia.
“Sekiranya rumah-rumah anutan sedia ada masih mampu menampung keperluan komuniti masing-masing, maka tidak wujud sebarang justifikasi untuk menambah premis baharu atau memutihkan pembinaan yang jelas melanggar syarat pembangunan,” katanya.
Tambah beliau, cadangan membenarkan rumah anutan beroperasi secara longgar di kawasan industri dan komersial berpotensi mewujudkan pelbagai implikasi negatif kepada kepentingan awam.
Kata beliau, aktiviti keagamaan yang melibatkan kehadiran ramai pengunjung pada masa tertentu boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, kekurangan tempat letak kenderaan, gangguan kepada operasi perniagaan, risiko keselamatan awam, konflik guna tanah dan menjejaskan fungsi asal kawasan tersebut.
“Perancangan bandar yang mampan menuntut agar setiap zon pembangunan digunakan mengikut tujuan yang telah diluluskan dan diwartakan,” katanya.
Selain itu, katanya, sebarang tindakan memutihkan rumah anutan yang dibina di atas tanah yang tidak dibenarkan boleh menimbulkan persoalan serius dari sudut undang-undang.
Kata beliau, tindakan memutihkan pembangunan yang bercanggah dengan zon guna tanah boleh dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa pentadbiran dan berpotensi dicabar melalui semakan kehakiman.
Katanya, lebih membimbangkan, tindakan sedemikian akan mewujudkan satu preseden yang membuka ruang kepada pelbagai pihak lain untuk turut melanggar undang-undang atas alasan yang sama.
“Mana-mana rumah anutan yang dibina tanpa kelulusan sewajarnya hendaklah ditangani mengikut proses perundangan yang sama seperti mana-mana pembangunan haram yang lain. Undang-undang tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana kumpulan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pendirian Garah bukan menafikan hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya mempertahankan prinsip setiap pembangunan tanpa mengira agama atau pihak yang terlibat wajib mematuhi undang-undang, syarat perancangan dan kepentingan awam.
“Kebebasan beragama tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan pembinaan yang tidak mendapat kelulusan atau bercanggah dengan perancangan bandar yang telah ditetapkan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Firdaus Wong Wai Hung


