PELABUHAN KLANG: Kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini bagi membincangkan tindakan selanjutnya berhubung pembaikan sistem pendawaian elektrik membabitkan 128 unit kediaman di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau, di sini susulan masalah ketiadaan bekalan elektrik yang berlarutan sejak 7 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, berkata mesyuarat itu akan disertai beberapa pihak berkepentingan termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); Tenaga Nasional Berhad (TNB); Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta wakil penduduk.
“Isnin ini kita akan bermesyuarat bersama pihak pengurusan dan semua agensi berkaitan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) bagi memutuskan langkah penyelesaian menyeluruh dan memastikan kerja pembaikan dijalankan segera serta teratur.
“Keputusan dibuat nanti akan mengambil kira keselamatan penduduk dan risiko teknikal serta kewangan sebelum sebarang kerja pembaikan dan penyaluran semula bekalan elektrik dilaksanakan supaya tiada litar pintas atau kos tambahan,” katanya selepas melawat pangsapuri berkenaan, di sini, hari ini.
Borhan berkata, hasil penilaian awal mendapati kebakaran di bilik sesalur elektrik (DB) menyebabkan kerosakan serius terhadap keseluruhan sistem pendawaian elektrik di Blok C, seterusnya menjejaskan bekalan sebahagian besar unit kediaman.
beliau berkata, pemeriksaan teknikal mendedahkan hanya sebahagian kecil unit kediaman dapat menerima bekalan sementara melalui kaedah bekalan pintasan (bypass) yang disediakan TNB.
Katanya, kaedah bekalan pintasan tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya kerana terdapat risiko berlaku litar pintas semula terutama membabitkan DB yang sudah terbakar.
“Pelaksanaan tanpa pemeriksaan teknikal juga boleh membahayakan penduduk. Kita tidak mahu mengambil sebarang risiko yang boleh membahayakan keselamatan nyawa dan harta penduduk kerana keselamatan serta kos pembaikan efektif adalah keutamaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Borhan berkata, maklum balas daripada badan pengurusan bersama (JMB) menunjukkan kos pembaikan sistem pendawaian elektrik di blok itu tinggi dan memerlukan peruntukan besar, kerana membabitkan kerja menyeluruh bagi setiap unit serta sistem keselamatan bangunan.
Katanya, semakan menyeluruh ke atas sistem elektrik bangunan mendapati skop kerja pembaikan lebih luas daripada jangkaan awal selepas ia memerlulan penggantian komponen kritikal, pendawaian baharu dan pemeriksaan keselamatan bagi semua sambungan elektrik.
“Anggaran awal kos pembaikan sekitar RM520,000 namun kos keseluruhan dianggarkan hampir RM1.7 juta jika mengambil kira pemeriksaan pendawaian di setiap tingkat pangsapuri itu bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan selamat dan mematuhi standard teknikal.
“Jumlah ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk PKNS, TNB dan agensi teknikal lain bagi memastikan kerja pembaikan disegerakan serta kos diurus dengan baik,” katanya.
Sementara itu, ketua blok berkenaan, Azizul Anuar Abu Karim, 32, berkata pihaknya berharap isu itu diatasi segera kerana sudah lebih 20 hari penduduk bergelap.
“Kejadian ini pada awalnya menekan kami dari segi tenaga apabila bekalan air juga terputus, kemudian menekan emosi serta kewangan turut terjejas.
“Penduduk di sini kebanyakannya kurang kemampuan (B40) dan memperoleh pendapatan hasil kerja harian seperti berniaga pasar malam serta mengasuh kanak-kanak.
“Justeru, keadaan rumah tidak sempurna tanpa bekalan elektrik dan air menjejaskan aktiviti harian. Kami berharap selepas mesyuarat Isnin ini, ada berita baik untuk penduduk dan kerja pembaikan dilakukan segera,” katanya.
BHonline-


