ALOR SETAR – Pasukan wanita Malaysia gagal menyerlah apabila tumpas 2-3 kepada Thailand pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini hari ini.
Bagaimanapun, selaku naib juara Kumpulan Y, Malaysia tetap mara ke suku akhir selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut menewaskan Vietnam dan Filipina.
Pada aksi hari ini, Soniia Cheah gagal menyumbangkan mata pertama selepas tumpas di tangan Nitchaon Jindapol 14-21, 15-21 dalam masa 43 minit permainan.
Pasangan beregu yang baru digandingkan, Vivian Hoo-Tee Jing Yi mengejutkan gandingan Thailand, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong 21-19, 21-16, untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Thailand, kemudian kembali di hadapan selepas pemain Malaysia Goh Jin Wei kalah kepada Pornpawee Chochuwong 19-21, 17-21.
Satu lagi pasangan beregu baharu negara, Chow Mei Kuan-Goh Yea Ching menghidupkan kembali harapan Malaysia selepas mencatat kemenangan 21-15, 21-15 ke atas Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai.
Namun, hasrat Malaysia untuk meraih kemenangan dalam saingan tersebut berkecai selepas pemain perseorangan ketiga, Lim Yin Fun terpaksa akur di tangan Busanan Ongbamrungphan 13- 21, 20-22.
“Mungkin, sebab saya tidak selalu beraksi di Siri Super, mereka tidak tahu corak permainan saya.
“Tapi untuk perlawanan hari ini, kita banyak membuat persediaan mental. Kita juga sudah bersedia berdepan sesiapa sahaja di suku akhir,” kata Yea Ching, menggantikan Lee Meng Yean yang mengalami kecederaan selepas kejohanan Masters Malaysia, bulan lepas. – BERNAMA

