KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana menyembunyikan wang seorang lelaki lain yang mahu mendapatkan hadiah hasil kemenangan nombor ekor.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Haruna Bacho, 49, selepas tertuduh mengaku bersalah dengan curangnya menyembunyikan atau memindahkan harta bukan miliknya melalui akaun Ambanknya menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM700.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di mesin ATM Ambank Ampang Point, Ampang, di sini pada 3.32 petang, 8 Ogos 2016 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, mangsa dihubungi seseorang memaklumkan telah memenangi nombor ekor dan untuk mendapatkan hadiah, mangsa perlu memasukkan wang berjumlah RM700 dan mangsa telah memasukkan wang yang diminta.
Bagaimanapun sehingga ke hari ini, lelaki yang menyuruh mangsa memasukkan wang itu gagal dihubungi dan hasil siasatan polis mendapati mangsa telah memasukkan wangnya ke dalam akaun tertuduh.
Ketika rayuan Haruna yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia yang bekerja sendiri berpendapatan tidak menentu dan perlu menyara keluarga termasuk lima orang anak.
Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh mengambil kira kerugian yang dialami mangsa selain kes jenayah seumpama itu kerap kali berlaku. — BERNAMA

