PUTRAJAYA – Seorang individu didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya selepas mengaku salah membuat representasi mengelirukan dalam urus niaga pakaian apabila barangan diterima oleh pengguna tidak sama seperti yang diiklankan.
Dalam kejadian pada 27 Februari 2024, seorang pengguna membuat aduan selepas menerima pakaian jenis jubah sedangkan barangan yang diiklankan dan sepatutnya dibekalkan adalah baju kurung.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, aduan berkenaan membawa kepada siasatan dan tindakan pendakwaan terhadap individu terbabit.
Menurutnya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1)(b) akta sama.
“Mahkamah Majistret Putrajaya pada 22 Oktober 2026 menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap tertuduh selepas mengaku bersalah dan denda tersebut dijelaskan pada hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, KPDN memandang serius sebarang bentuk representasi palsu atau mengelirukan dalam urus niaga, khususnya membabitkan pengiklanan dan pembekalan barangan yang tidak menepati keterangan ditawarkan.
Beliau mengingatkan semua peniaga supaya mengamalkan urus niaga beretika, telus dan bertanggungjawab dengan memastikan barangan dibekalkan adalah selaras dengan maklumat serta pengiklanan dibuat.
Tegasnya, KPDN tidak akan berkompromi terhadap pihak yang memperdaya pengguna dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi melindungi hak serta kepentingan pengguna.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui portal e-aduan.kpdn.gov.my, WhatsApp 019-848 8000 atau 019-279 4317 serta talian 1-800-886-800. – MYNEWSHUB


