KUALA LUMPUR – Bekas pelakon dan penulis lirik yang kemudian bergiat aktif dalam politik, Mohd Hakim Lokman atau Bob Lokman, 54, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital UITM Sungai Buluh, pukul 11 malam tadi.
Laman Facebook parti politik yang disertainya sejak tahun 2011 melaporkan, Bob Lokman yang pernah popular dengan lagu ciptaannya Isabella dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah jantung dan paru-paru.
“Bob Lokman, jam 11 semalam telah dikejarkan ke bahagian kecemasan Hospital UITM Sungai Buluh. Jantung dan paru-paru Bob Lokman ada masalah,” kata laman Facebook berkenaan hari ini.
Laman Facebook itu merayu orang ramai menghulurkan bantuan kepada isteri Bob Lokman, Relawati Daud bagi mengurangkan bebannya dalam menghadapi musibah tersebut.
“Tanggungannya ramai dan isterinya tidak bekerja. Diharap ada yang boleh beri sumbangan untuk meringankan beban yang dihadapi,” kata laman Facebook itu.
Bob Lokman pernah dikejarkan ke Hospital Taiping, Perak selepas mengadu mengalami sesak nafas pada 6 Disember 2013 ketika sedang makan durian.
Dua bulan kemudian, beliau sekali lagi dikejarkan ke hospital di Sungai Buloh, Selangor selepas mengalami masalah yang sama. – MYNEWSHUB.CC

