YALA – Pihak keselamatan Thailand menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian membakar sebuah bas ekspres di daerah Benang Setar di wilayah bergolak ini dua hari lepas.
Ketua Polis Thailand Jeneral Chakthip Chaijinda, yang meninjau lokasi kejadian itu hari ini, berkata pihaknya turut menyoal siasat 20 saksi kejadian itu.
Kejadian itu menyaksikan sekumpulan 10 lelaki bersenjata menahan bas ekspres dua tingkat dalam perjalanan dari Betong ke Yala dan mengarahkan 11 penumpang termasuk pemandu meninggalkan bas itu sebelum bertindak membakarnya.
Lelaki bersenjata itu turut menabur paku, membakar tayar serta menebang pokok bagi melengahkan penghantaran anggota keselamatan ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat Thailand Jeneral Chalermchai Sittisart yang mengadakan mesyuarat di Kem Sirinthorn hari ini, mengarahkan kawalan lebih ketat dijalankan terhadap pengguna jalan raya di kawasan berisiko. – BERNAMA

