PUNCAK ALAM – Cadangan resolusi khas dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-4 Perbadanan Pengurusan Graham Garden di Puncak Alam, Selangor mahu membenarkan makanan tidak halal di dewan komuniti kawasan perumahan itu.
Menurut sumber, kawasan perumahan itu turut didiami oleh masyarakat beragama Islam dan peraturan sedia ada menetapkan larangan keras terhadap alkohol serta daging babi di Dewan Komuniti.
Berdasarkan dokumen AGM yang dilihat Mynewshub, Agenda No. 15 mencadangkan pindaan kepada Undang-Undang Kecil Tambahan Graham Garden melalui Klausa 31(r) berkaitan penggunaan Dewan Komuniti dan Dewan Serbaguna.
Bagaimanapun, pindaan yang dicadangkan membenarkan makanan tidak halal dihidangkan atau dimakan di kedua-dua dewan berkenaan, tertakluk kepada kewajipan menjalankan proses samak selepas setiap penggunaan.
Proses pembersihan itu perlu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik pihak pengurusan, manakala kos sebenar ditanggung pemilik yang membuat tempahan melalui potongan deposit atau bayaran tambahan.
Selain itu, Agenda No. 18 turut mencadangkan Klausa 40 berhubung penggunaan lapan petak parkir berhampiran gazebo sebagai kawasan acara persendirian.
Klausa 40(g) secara jelas mengekalkan larangan pengambilan atau penyajian alkohol di kawasan acara persendirian tersebut.
Bagaimanapun, Klausa 40(h) menetapkan bahawa makanan atau bahan tidak halal yang memerlukan samak boleh digunakan atau dihidangkan dengan kos pembersihan ditanggung pihak yang membuat tempahan
Dokumen yang diteliti menyatakan resolusi itu untuk pertimbangan dan kelulusan. Pengundian AGM berkenaan difahamkan akan berlangsung Ahad ini. – MYNEWSHUB


