PENAT lelah pasti akan hilang selepas melihat keletah si kecil di rumah sampaikan ada ibu bapa yang rasa seperti mahu meluangkan masa selama-lamanya bersama anak mereka.
Malah pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof, 33, memberitahu bahawa kehadiran si kecil, Syaikhul Islam yang kini sudah berusia lapan bulan membuatkan dia ‘malas’ untuk pergi bekerja.

“Alhamdulillah, kehadiran Syaikhul menambahkan lagi kebahagiaan rumah tangga bersama isteri. Naluri sebagai bapa sangat kuat hinggakan setiap kali hendak keluar bekerja rasa sangat berat.
“Apabila berada di pejabat, saya selalu fikirkan anak. Sebab saya tahu waktu bangun dan tidur. Kalau pulang, penat macam mana pun, saya mesti luangkan masa bermain dengannya.
“Saya perlu hargai momen ini. Kalau boleh, saya tidak mahu terlepas walau sesaat. Pendek kata, kehadiran anak sulung ini menambahkan lagi kebahagiaan rumah tangga bersama isteri,” katanya kepada Harian Metro.

Syamsul kini sedang ‘angau’ bersama dengan anaknya dan baginya dia kini sudah bahagia menjalani kehidupan sebagai seorang suami dan bapa.
Tambah pengarah hebat itu lagi, peribahasa syurga di bawah tapak kaki ibu itu merupakan bukti pengorbanan seorang ibu melahirkan anaknya.
“Saya tengok Sarah seorang yang kuat semangat. Setiap hari keluar bekerja, saya selalu berpesan jaga anak dengan baik.
“Saya sangat menghargai apa yang dilakukan Sarah untuk keluarga kami. Sudah semestinya sebagai suami, saya sentiasa memberi sokongan kepadanya,” ujarnya lagi.

Bagi Syamsul, tiada apa lagi yang mampu dikatakan olehnya melainkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada isterinya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 32.
“Sejak berkahwin, dia sangat memahami kerja saya. Walaupun ada ketika saya kena juga pujuk dan ambil hatinya,” tambah Syamsul yang baru-baru ini muncul dengan filem Abang Long Fadil 2.

Dalam masa yang sama, Syamsul kini bakal muncul dalam filem Makrifat Cinta yang bakal ditayangkan pada 1 Februari tahun hadapan.
Makrifat Cinta merupakan filem di bawah arahan Kamal G menampilkan Syamsul, Nora Dannish, Nabila Huda, Dato Adi Putra, Puteri Balqis, Sabrina Ali dan ramai lagi sebagai teraju utama. – MYNEWSHUB.CC/ AH

