KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pekerja pusat karaoke, hujung bulan lalu.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhi hukuman itu terhadap Teng Yon Low, 39, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap warga Bangladesh, Rahman Mohammad Habibur, 23, hingga luka di bahagian mata dan bahu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di KTV Meridian, Taman Shamelin, Cheras, di sini pada 12.30 malam, 23 Oktober lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Farah Adilah Nordin memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada lelaki itu.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda ringan atas alasan tidak mampu berbayar denda tinggi selain telah insaf atas perbuatannya. – BERNAMA

