KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyiapkan sebanyak 27 projek perumahan swasta yang terbengkalai dari tahun 2013 sehingga 11 Okt lalu.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, lapan projek daripada jumlah itu telah dipulihkan dengan menggunakan dana kerajaan berjumlah RM36.1 juta bagi rumah kos rendah dan sederhana rendah yang berharga di bawah RM70,000.
“Sementara bagi projek perumahan swasta terbengkalai yang melebihi RM70,000, kerajaan menggunakan pemaju swasta untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) yang ingin tahu mengenai bilangan jumlah rumah terbengkalai dari tahun 2013 sehingga sekarang.
Mengenai cadangan menambah klausa penanggungan ke atas pihak insurans yang dikenakan ke atas pembeli sebagai syarat pinjaman perumahan, Noh berkata kementerian itu sedang mengkaji sama ada klausa itu harus ditambah kerana ia akan melibatkan kos kepada pembeli.
“Sekarang hanya ada insurans kebakaran dan Mortgage Reduced Term Assurance (MRTA) dan cadangan ini akan dipertimbangkan, kemungkinan jika klausa ini perkenalkan, ia akan menjadi pilihan kepada pembeli sekiranya sesuatu projek itu terbengkalai,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) sama ada kementerian bercadang mengenakan hukuman yang lebih tinggi kepada pemaju projek terbengkalai, Noh berkata cadangan itu perlu diteliti dari segi kesan undang-undang sedia ada kerana melibatkan perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli. – BERNAMA

