TIDAK dapat menahan lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ‘terkasar’ dalam ucapannya bagi menzahirkan kemarahan terhadap pembangkang, semalam.
Najib ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan MCA di wisma MCA pada Isnin menjelaskan hubungan Malaysia dan China yang berlaku di bawah pentadbiran Barisan National tidak akan menjejaskan kedaulatan negara.
“Mereka mengancam untuk mengubah segala-galanya, kononnya kita (Malaysia) dah menjual kedaulatan. Kedaulatan apa? Kepala bapak kau,” katanya.
Najib berkata demikian bagi mengulas pendirian Pakatan Harapan yang disifat cuba menipu rakyat apabila mendakwa kononnya kerajaan ingin menjual kedaulatan menerusi projek pembangunan hartanah di Forest City.
Najib bagaimanapun kemudiannya memohon maaf kerana menggunakan kata kasar itu dalam ucapan.
Presiden Umno itu berkata, tiada ada kadaulatan negara yang tergadai ekoran keputusan kerajaan mengadakan hubungan ekonomi dan pelaburan dari China.
“Bodoh. Anda fikir Kuantan Industrial Park orang Malaysia tak boleh masuk?
“Bodoh punya kerja. Saya tak lah terlalu bodoh untuk menipu Malaysia. Ini adalah tanah air kita yang berdaulat,” katanya.
Mengulas kenyataannya, Najib akui berang dengan kenyataan pembangkang yang disifatkannya sebagai mengarut.
“Pergi Forest City cerita macam-macam. Itu semua tanah tebus gunalah, bukan tanah Johor.
“Tanah tebus guna sebahagiannya dijual kepada pihak luar negara, manakala sebahagian lagi kepada orang tempatan.
“Anda fikir mentaliti orang Malaysia begitu bodoh hingga tak boleh berfikir sendiri?” katanya.
Terdahulu dalam laporan Malaysiakini, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa projek Forest City yang dibangunkan di Gelang Patah akan menggugat dan menjejaskan kedaulatan negara.

Pengerusi Pakatan Harapan itu ketika membuat tinjauan di kawasan berkenaan mengatakan banyak tanah dan kediaman di sekitar Johor Bahru akan dijual kepada warga asing sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah, termasuk mengancam keselamatan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sekijang Anuar Manap berkata status pegangan kekal di projek pembangunan hartanah itu adalah hanya untuk hak milik strata dan bukannya tanah.
“Tidak ada seinci pun tanah Johor yang dimaksudkan hak milik kekal ini,” katanya. -MYNEWSHUB.CC

