DAKWAAN jahat pembangkang ‘jaja’ cerita konon kira-kira 300,000 kaum India di negara ini terabai tanpa memiliki hak kewarganegaraan, terbukti palsu menerusi kempen Mydaftar Mega dilaksanakan kerajaan.
Perkara itu didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkata dakwaan itu hanyalah pembohongan semata-mata memandangkan hanya kira-kira 2,500 permohonan diterima daripada kaum India di negara ini.
Ia merupakan jumlah direkodkan memang tidak pernah memiliki status kewarganegaraan termasuk mereka yang lahir sebelum kemerdekaan negara pada 1957 lalu serta kelahiran tidak didaftarkan akibat faktor tertentu.
“Menerusi inisiatif MyDaftar yang masuk ke segenap pelosok, selongkar di segenap negeri dan cari di serata tempat, tidak ada 300,000 ‘stateless Indian’ sebagaimana diuar-uarkan, sampai ke Parlimen Westminister dijaja.
“Konon kita aniaya kaum India di negara ini. Ini cerita dongeng, yang kita dapat hanya 2,500 permohonan sahaja… cerita tidak betul, sama macam cerita kita bawa masuk 40,000 pengundi Bangladesh pada pilihan raya yang lalu.
“Juga sama cerita negara konon akan bankrap, banyak cerita auta dan tidak berasas seperti diuar-uarkan itu,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan kewarganegaraan kepada kaum India hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S Subramaniam.
Beberapa pemimpin parti komponen serta mesra Barisan Nasional yang mewakili kaum India termasuk Parti Progresif Penduduk ( MyPPP), Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) dan Makkal Sakti juga hadir.
Seramai 177 penerima Surat Kelulusan Kewarganegaraan terdiri daripada masyarakat India yang lahir sebelum kemerdekaan negara, kelahiran tidak didaftarkan dan tiada dokumen pengenalan diri menerima surat berkenaan.
Menurut Najib, kerajaan pimpinan beliau malahan komited untuk menyelesaikan segera isu kerakyatan melibatkan ribuan masyarakat India di negara ini dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF).
Ia diwujudkan di bawah kendalian Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang melaksanakan inisiatif Mydaftar sejak 2011 manakala program terbesar, Mydaftar Mega dilaksanakan pada awal tahun ini.
Ini juga selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) untuk menyelesaikan semua isu kewarganegaraan dalam kalangan masyarakat India sejak sekian lama secara sepenuhnya.
“Walaupun hanya 7.4% dalam negara kita, tetapi kumpulan minoriti ini tidak diabaikan kerajaan hari ini,” katanya sambil menambah isu itu gagal diselesaikan pemimpin terdahulu walaupun memegang tampuk pemerintahan selama 22 tahun.
Pada masa yang sama, beliau juga menyeru semua parti politik yang mewakili masyarakat India, bersepakat dalam memperkasakan kumpulan minoriti itu seiring kaum lain di negara ini.
“Sebagaimana saya sebut semasa (pembentangan) Bajet 2018, kaum India tidak perlu sedekah, tetapi perlu pada pemerkasaan, sebab itu kerajaan tetapkan 7% kaum India dalam perkhidmatan awam, dan di institusi pengajian tinggi awam, tapi pokoknya, perlu ada kewarganegaraan.
“Namun ramai yang ambil mudah, tetapi, dengan adanya kewarganegaraan, boleh dapat macam-macam bantuan kerajaan seperti, BR1M, pinjaman Tekun, rawatan di Klinik 1Malaysia… kami tidak mahu apa-apa, cuma bila sampai masanya, tolonglah… itu saja,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

