KUALA LUMPUR – Kontinjen negara boleh menzahirkan semangat patriotisme pada bulan kemerdekaan ini dengan menyumbang kilauan emas pada temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ketika memberi amanat kepada atlet Kita Juara berkata beliau mengharapkan agar kejayaan bertaraf dunia atlet akan berulang dan radius kemenangan akan bertambah di bumi Malaysia pada KL2017.
“Saya mahu berterima kasih kepada anda, bukan sebagai menteri tetapi sebagai rakyat Malaysia yang telah meyakinkan saya bagaimana sukan dapat menggembirakan dan menyatukan rakyat Malaysia.
“Anda (atlet) mengingatkan rakyat Malaysia bahawa walaupun mereka merasa tiada apa yang hendak dibanggakan sebagai rakyat Malaysia, mereka sentiasa boleh berbangga dengan atlet Malaysia,” katanya.
Kontinjen negara terdiri daripada 871 atlet yang akan bertanding dalam 397 daripada 404 acara di temasya yang akan membuka tirai secara rasmi pada 19 Ogos dan penutupnya pada 30 Ogos.
Khairy berkata beliau mahu kejayaan yang dikecapi di Sukan Olimpik Rio, Kejohanan Berbasikal Dunia di Hong Kong dan Kejohanan Terjun Dunia di Budapest diteruskan di temasya KL2017.
Katanya satu-satunya perkara yang menjadi keutamaannya adalah keinginan setiap wira dan wirawati Malaysia di Sukan SEA atau Para Asean, untuk mengalungkan sebutir pingat emas.
Khairy juga mengingatkan atlet supaya setiap kali masuk gelanggang, mereka perlu fikirkan pingat yang bakal menggembirakan rakyat Malaysia kerana kemenangan mereka bukan hanya untuk diri sendiri sebaliknya pengorbanan oleh keluarga, jurulatih, rakan sepasukan dan juga pegawai sukan.
Katanya mereka tidak menerima kemasyhuran mahupun dikenali di seluruh negara tetapi hanya mahu melihat atlet menang pingat emas untuk mereka.
“Fikirkanlah tentang teman sepasukan…bukan mereka yang akan sama-sama bertanding dengan anda tetapi mereka yang bakal di sisi anda memberi sokongan. Mereka yang kurang bernasib baik, dilanda kecederaan, tidak dapat masuk kuota pemilihan dan yang beri laluan kepada anda. Mereka juga ada keinginan untuk mewakili negara sama tinggi dengan anda.
“Maka sebelum anda ke gelanggang, ambil beberapa saat untuk fikir tentang rakan sepasukan anda yang tidak terpilih tetapi ingin melihat anda berjaya. Yang sama-sama berlatih dengan anda tetapi tidak akan meraih emas pada kali ini. Kita Juara untuk siapa? Untuk rakan-rakan anda juga,” katanya. – BERNAMA