PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyasarkan untuk melaksanakan sepenuhnya kaedah pembayaran secara dalam talian bagi setiap perkhidmatan jabatan itu yang dikenakan bayaran bermula November ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata rancangan tersebut telah dibawa kepada pengetahuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alwi Ibrahim serta Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata selain boleh menjimatkan guna tenaga, rancangan itu juga bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dan menutup ruang penggunaan budi bicara yang merupakan satu daripada elemen yang mungkin disalahgunakan untuk kepentingan tertentu.
“Ini satu cabaran kepada saya dan juga JIM kerana kami sedar pembaharuan yang akan dilaksanakan bakal melibatkan kekangan tertentu terutamanya bajet bagi membangunkan sistem yang bakal digunakan, katanya mengulas saranan timbalan perdana menteri agar jabatan itu memperkasakan penggunaan teknologi dan perkhidmatan secara dalam talian bagi membanteras unsur rasuah.
Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai bacaan ikrar bebas rasuah pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) JIM-Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disaksikan Ahmad Zahid di sini hari ini.
Mustafar berkata walaupun ada kekangan, beliau yakin rancangan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh yang disasarkan dengan pihaknya akan memberikan sepenuh komitmen termasuk melatih pegawai dan anggota untuk tujuan berkenaan.
Beliau berkata antara perkhidmatan JIM yang perlu berubah kepada kaedah pembayaran secara dalam talian atau e-payment adalah hal berkaitan pembayaran levi pekerja asing dan permohonan pasport kerana perkhidmatan tersebut mengenakan caj yang agak besar.
Dalam pada itu, Mustafar berkata saranan Timbalan Perdana Menteri merupakan antara perubahan dan elemen penting yang diberi perhatian oleh JIM selaras dengan usaha jabatan itu mengurangkan campur tangan dan sentuhan manusia dalam perkhidmatan yang ditawarkan.
Secara keseluruhan, perkhidmatan menggunakan sistem secara dalam talian di JIM telah mencapai 60 peratus setakat ini, antaranya Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs), pembaharuan pasport melalui MyOnline Pasport dan pengenalan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN), katanya. – BERNAMA