JAKARTA – Ketika masalah berita palsu semakin ketara, wartawan Indonesia daripada pelbagai media utama melancarkan Jaringan Wartawan AntiPalsu.
Menurut akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, jaringan itu membentuk satu pasukan yang akan menapis berita yang diperoleh setiap hari dan memperkenalkan satu aplikasi bagi membantu editor menentukan sama ada sesuatu berita atau maklumat itu adalah benar atau palsu.
Jaringan itu dikendalikan oleh Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) dan dilancarkan Jumaat lepas.
Pengerusi PWI, Margiono dilaporkan berkata persatuan itu mahu media perdana bersih dan bebas daripada masalah itu dan ia akan dilakukan menerusi jaringan tersebut.
Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Naib Presiden, Jusuf Kalla akan dilantik sebagai penasihat jaringan itu.
Baru-baru ini, ulama di Indonesia dilaporkan bersedia mengeluarkan fatwa berhubung berita palsu selepas beberapa siri laporan palsu di media sosial telah menyebabkan ketegangan etnik dan politik sewaktu kempen Pilihan Raya Gabenor Jakarta sejak Oktober tahun lepas. – BERNAMA

