KUALA LUMPUR – Petronas LNG Ltd (PLL), anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dan sekutu perkapalannya, MISC Bhd, menandatangani momorandum persefahaman (MoU) tidak terikat dengan rakan Gas4Sea bagi mempromosi gas asli cecair (LNG) sebagai bahan api pilihan marin.
Gas4Sea, yang terdiri daripada ENGIE S.A., Mitsubishi Corporation dan Nippon Yusen Kabushiki Kaisha, ialah usaha sama yang dibentuk bagi mempromosi bersama LNG sebagai bahan api maritim yang bersih dengan menyediakan perkhidmatan bunker LNG dalam pasaran dunia.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Ketua Pegawai Eksekutif PLL Ezhar Yazid Jaafar berkata usaha sama itu dijangkakan meningkatkan kehadiran kukuh Petronas dalam rangkaian nilai LNG bersepadu dan portfolio pasaran LNG pelbagai.
“Petronas sedang berusaha mengenal pasti kaedah untuk mempromosikan penggunaan LNG melepasi pasaran sedia ada dan menyokong LNG sebagai bahan api baharu bagi sektor terbabit.
“Usaha sama ini juga akan menyokong penggunaan LNG sebagai bahan api pilihan untuk aktiviti marin, selari dengan usaha Petronas membantu mengurangkan kesan karbon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi MoU yang ditandatangani pada 9 Mei, pihak-pihak yang terlibat akan meneroka cara untuk menjalin usaha sama dan mengenal pasti potensi peluang-peluang perniagaan dalam bunker LNG.
“Rakan Gas4Sea merupakan penggiat utama dalam industri tenaga dan perkapalan dunia.
“Menerusi kapal bunker LNG khusus pertama di dunia di pelabuhan Zeebrugge, Belgium, Gas4Sea dilengkapi rantaian nilai bunker LNG untuk meluaskan capaian dan memenuhi keperluan sektor pengangkutan marin,” kata Ezhar. – BERNAMA

