VOKALIS kumpulan rock Soundgarden dan Audioslave, Chris Cornell, disahkan meninggal dunia pada malam Rabu lalu, menurut wakil medianya kepada CNN.
Cornell, 52, baru sahaja membuat persembahan bersama Soundgarden, yang sedang dalam siri konsert jelajah AS mereka sejak April.
Menurut Biran Bumberry yang merupakan wakil media Cornell, menyifatkan kematian penyanyi itu sebagai “mengejut dan tidak dijangka” di dalam sebuah kenyataan rasmi.
Isteri mendiang, Vicky serta ahli keluarga mereka terkejut dengan berita kematiannya dan sedang bekerjasama dengan pemeriksa perubatan untuk mengenal pasti punca kematian Cornell.
“Keluarga Cornell mahu mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya kerana sentiasa memberikan sokongan dan kasih sayang kepadanya, dan memohon agar hak peribadi mereka dihormati buat masa ini,” jelas kenyataan tersebut.
Pemenang anugerah Grammy itu baru sahaja selesai membuat persembahan di Fox Theatre, Detroit, Michigan, malam Rabu lalu.
Cornell terkenal bersama dua kumpulannya menerusi lagu Black Hole Sun dan Like A Stone.
Mendiang meninggalkan tiga orang cahaya mata iaitu Lilly Jean Cornell, Toni Cornell dan Christopher Nicholas Cornell. – MYNEWSHUB.CC

