KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didenda RM6,000 atau 13 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menjual 168 keping cakera padat video (VCD) cetak rompak.
Majistret Haslinda A.Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Yow Chyn, 33, yang menjual VCD itu tanpa Sijil Perakuan B daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia di hadapan kedai 7 Eleven, Taman Kosas, Ampang, Ampang Jaya di sini pada 7 malam, 8 April 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18(4)(a) Akta Penapisan Filem 2002 dan dihukum mengikut Seksyen 18(5) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya.
Dia membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Liew yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang rendah atas alasan dia merupakan penanggung utama keluarga dan mempunyai seorang anak yang masih bersekolah. – BERNAMA