KUANTAN – Kejayaan Pahang melangkah ke suku akhir Piala FA sememangnya melegakan jurulatihnya, Dollah Salleh, namun mengakui masih banyak yang perlu ditingkatkan berikutan persembahan anak buahnya yang masih goyah.
Dollah berkata penampilan anak buahnya ketika menewaskan Melaka United 2-0 di Stadium Darul Makmur semalam, serba tidak menjadi berbanding beberapa aksi mereka sebelum ini.
“Saya bersyukur kerana kami melangkah ke suku akhir dan keputusan yang dicatat memuaskan hati. Cuma Pahang mempamerkan corak permainan berbeza terutama pada babak kedua dan ini memberi Melaka United kesempatan untuk menyerang.
“Mujur mereka gagal menjaringkan gol manakala kami pula hanya bangkit 10 minit terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan malam tadi.
Pahang, juara dua kali Piala FA, menewaskan Melaka United 2-0 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Korea Selatan, Heo Jaewon pada minit ke-15 dan Mohd Nor Azam Abdul Azih, empat minit sebelum permainan tamat.
Dollah juga berkata beliau tidak begitu menghiraukan pasukan mana yang bakal dihadapi mereka di suku akhir nanti kerana apa yang lebih penting adalah prestasi pemainnya sendiri.
“Kami perlu bangkit semula untuk mendapatkan prestasi sebenar dan mengekalkannya…jika berjaya dikembalikan kami mampu memberi saingan sengit.
“Saya khuatir ada beberapa pemain kami tercedera, namun kami masih ada masa untuk menantikan mereka pulih,” katanya.
Sementara itu, pengendali Melaka United, Eric Williams berkata beliau agak kecewa dengan kekalahan pasukannya.
“Kami memperoleh beberapa percubaan terutama pada separuh masa kedua tetapi gagal memanfaatkan peluang itu. Kami telah melakukan yang terbaik tetapi kemenangan akhirnya berpihak kepada Pahang,” katanya. – BERNAMA