KUALA LUMPUR – Malaysia dipilih bagi menganjurkan Global Offset and Countertrade Association Asia Pacific Conference 2017 (GOCA APAC 2017), persidangan peringkat global yang pertama kali dianjurkan di rantau Asia Pasifik yang memberi tumpuan kepada industri “offset”.
Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency Bhd, Datuk Zailani Safari berkata persidangan itu akan berlangsung selama empat hari bermula 26 Mac ini di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
“Persidangan GOCA selalu diadakan Eropah dan Amerika Syarikat.
“GOCA APAC 2017, pertama kali diadakan di rantau Asia Pasifik, Malaysia dipilih sebagai satu penghormatan, berdasarkan pencapaian Program Industri Kerjasama (ICP) yang telah dilaksanakan di negara ini.
“GOCA berpandangan tatacara ICP di Malaysia boleh dijadikan contoh bagi negara-negara pengamal ICP yang lain dalam mengoptimumkan pulangan ekonomi dalam program dijalankan,” katanya selepas wawancara di Radio Bernama hari ini.
Persidangan ini turut terbuka kepada awam, selain bagi pemain industri serta wakil-wakil kerajaan yang terdiri dari pembuat dasar dan keputusan dengan menyasarkan 150 penyertaan.
Buat masa ini, persidangan tersebut telah menarik lebih 180 penyertaan antaranya dari negara Eropah, Amerika Syarikat, Timur Tengah, India, China, Hong Kong dan Taiwan.
Penyertaannya dijangka terus bertambah menjelang persidangan, katanya.
Selain memberi manfaat perniagaan kepada pemain industri, persidangan ini akan turut memberi pemahaman kepada mereka mengenai aspirasi kerajaan tertentu supaya dapat membentuk struktur perniagaan dengan pendekatan yang memenuhi aspirasi tersebut, jelasnya.
Ia juga akan memberi manfaat kepada mereka dalam mengoptimumkan tatacara perniagaan dengan menggunakan perdagangan offset, untuk meningkatkan penjanaan hasil.
Menyentuh mengenai peranan TDA, Zailani berkata, ia merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang diberi mandat bagi mengurus, mentadbir dan memantau semua pelaksanaan program ICP di Malaysia mengikut proses yang ditetapkan oleh dasar yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan.
Tujuan strategik ICP adalah untuk memastikan pemerolehan negara yang melibatkan bekalan, kerja dan perkhidmatan, secara berkesan dimanfaatkan dengan semangat untuk menyokong pertumbuhan industri tempatan dan keperluan pembangunan teknologi.
Menurut Zailani, objektif utama ICP ialah untuk memastikan setiap ringgit digunakan oleh kerajaan Malaysia dari perolehan akan mempunyai nilai tambah.
“ICP akan dijalankan sekiranya terdapat pemerolehan-pemerolehan kerajaan yang melebihi had-had yang ditetapkan iaitu pemerolehan yang bernilai RM50 juta ke atas dan di beri kepada pembekal asing, dan RM100 juta bagi pembekal tempatan adalah RM100 juta,” tambahnya.
Sejak 2011 sehingga kini, TDA telah menguruskan 70 program ICP bernilai RM70 bilion yang diletakkan di bawah pemantauannya sehingga tahun 2020, jelasnya.
Katanya lagi mengikut mandatori nilai perolehan dan pencapaian ekonomi adalah 1:1 namun ada juga program yang telah ditutup, dibuat dengan perolehan RM1 bilion telah mencatatkan pulangan ekonomi berganda sebanyak RM4 bilion.
TDA akan terus memastikan nilai wang bagi perbelanjaan oleh kerajaan untuk membeli aset yang strategik seperti aset ketenteraan, sivil atau komersial akan mendapat pulangan optimum dan memberi menafaat kepada ekonomi negara serta memenuhi wawasan, katanya lagi. – BERNAMA

