KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyifatkan kejayaan transformasi Battersea Power Station di London sebagai bukti keupayaan Malaysia mengurus pelaburan strategik dan mencipta nilai pada skala global.
Beliau berkata, bekas stesen janakuasa bersejarah itu kini berdiri megah sebagai pusat komersial bertaraf dunia milik Malaysia.
Shamsul Azri berkata demikian menerusi hantaran di media sosial semalam ketika melakukan lawatan kerja di London, United Kingdom bagi menilai hasil transformasi serta perkembangan pelaburan strategik negara di tengah kota berkenaan.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berbangga dengan kejayaan projek ini yang membuktikan keupayaan kita dalam meletakkan pelaburan negara pada standard global dan mengendalikan pembangunan ikonik bertaraf antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, kewujudan Battersea Power Station membawa identiti dan jejak Malaysia di tengah London, sebuah kota yang sarat dengan sejarah serta mempunyai pengaruh di peringkat dunia.
Katanya, pembangunan berkenaan bukan sekadar mencerminkan kejayaan transformasi sebuah bangunan bersejarah, malah memperlihatkan kemampuan Malaysia mengendalikan aset dan pelaburan berskala antarabangsa.
“Di tengah sebuah kota yang sarat dengan sejarah dan pengaruh dunia, ada jejak negara kita yang cukup membanggakan. Battersea
Power Station adalah salah satunya. Bukti keupayaan Malaysia mengurus pelaburan strategik dan mencipta nilai pada skala global,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Shamsul Azri bin Abu Bakar


