KUALA LUMPUR – Jumlah aduan yang berkurangan diterima kerajaan berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membuktikan tahap kefahaman masyarakat mengenainya semakin baik.
Kementerian Kewangan berkata bagi tempoh April hingga Disember 2016, sebanyak 840 aduan diterima berbanding 6,823 aduan bagi tempoh yang sama pada tahun 2015.
Selain itu juga tiada isu kritikal yang dibangkitkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak ia dilaksanakan pada 1 April, kata kementerian itu.
“Pemahaman peniaga mengenai pelaksanaan GST juga semakin baik dengan jumlah pendaftaran mencatat sebanyak 435,809 sehingga 21 Februari 2017 berbanding sasaran asal pendaftaran mandatori sebanyak 240,000 buah syarikat,” kata kementerian itu.
Perkara ini terkandung dalam jawapan bertulis kementerian di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin tahu sejauh mana pemahaman dan penerimaan rakyat mengenai pelaksanaan GST, jumlah kutipan dan pembayaran balik GST dan sama ada kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar GST.
Menurut kementerian, hasil GST yang dikutip bagi tempoh 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016 berjumlah RM41.206 bilion.
Jumlah tuntutan bayaran kredit cukai input yang telah dibayar JKDM bagi tempoh yang sama pula berjumlah RM16.92 bilion (65.21 peratus), manakala baki tuntutan sebanyak RM2 bilion masih dalam proses oleh pihak JKDM untuk dipulang balik.
Dalam pada itu, kementerian juga menjelaskan kerajaan belum bercadang untuk mengkaji semula kadar GST yang pada masa ini ditetapkan pada kadar enam peratus.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk mengkaji semula kadar GST itu, kerajaan perlu melihat sistem percukaian negara secara menyeluruh.
“Ini termasuk kadar cukai korporat dan individu selain faktor-faktor lain yang akan menerima impak daripada perubahan kadar GST seperti kesan kepada pertumbuhan ekonomi, Indeks Harga Pengguna, pelaburan dan selainnya,” jelas kementerian tersebut. – BERNAMA

