KUALA LUMPUR – PAS merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Institut Jantung Negara (IJN), pagi ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemergian Allahyarhamah bukan sahaja kehilangan besar buat keluarga, malah turut dirasai ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia.
Menurutnya, Tun Dr Siti Hasmah yang juga direkodkan sebagai wanita pertama di Malaysia berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan telah memberikan sumbangan besar kepada negara.
Beliau berkata, Allahyarhamah turut memainkan peranan dalam usaha menaikkan martabat wanita Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan dan ekonomi sepanjang Tun Dr Mahathir menerajui negara sebagai Perdana Menteri.
“Ahli-ahli PAS khususnya dan seluruh warganegara umumnya turut merasa kehilangan Ibu Negara ini.
“Semoga roh YABhg Tun Dr Siti Hasmah ditempatkan bersama para solehin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Takiyuddin turut menyampaikan ungkapan Innalillahi wa inna ilaihi raji’un yang bermaksud, “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali.” – MYNEWSHUB


