SEORANG kanak-kanak berusia lapan tahun dari China yang terjatuh buaian menimbulkan rasa bersalah kepada anggota penyelamat apabila dia nekad untuk meminta kebenaran guru kelasnya sebelum dihantar ke hospital.
Budak lelaki yang berasal dari selatan bandar Hechi itu difahamkan sedang bermain bersama rakan-rakannya di taman di Weibaqun Square secara tidak sengaja terjatuh dan tersepit di bawah buaian.
Menerusi klip yang berdurasi 45 saat itu, anggota penyelamat terpaksa memotong buaian itu untuk mengeluarkan mangsa.
Mangsa kemudiannya diangkat dan diletakkan di atas bangku yang terdapat di taman berkenaan sebelum mengadu dia tidak dapat merasai kakinya.
Kanak-kanak lelaki itu meminta telefon untuk menghubungi kakaknya sambil menangis meminta ahli keluarganya itu untuk mendapatkan kebenaran daripada guru kelasnya sebelum dihantar ke hospital.
Laman tempatan negara itu memberitahu, kerenah budak lelaki itu menyebabkan anggota penyelamat berasa geli hati.
Masakan tidaknya, mangsa tidak risau akan kecederaan yang dialaminya tetapi lebih bimbang guru kelasnya akan marah sekiranya dia tidak kembali ke bilik darjah.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada 2 petang waktu tempatan dan budak lelaki itu tidak mengalami kecederaan serius sebaliknya hanya cedera ringan sahaja. – MYNEWSHUB.CC