REMBAU – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berbangga dengan pencapaian cemerlang yang ditampilkan pelumba tempatan dalam Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) setakat ini.
Beliau berkata prestasi itu ditunjukkan dua pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Mohd Zamri Salleh, yang meraih kedudukan podium.
Nur Amirul meraih jersi Merah selaku Raja Bukit pada peringkat pertama sejauh 124.8 kilometer (km) dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu pada 22 Februari lepas manakala Mohd Zamri menduduki tangga ketiga pada peringkat ketiga dari Serdang ke Pantai Remis sejauh 118km pada Jumaat lepas.
“Kita masih lagi harap suatu hari nanti, mungkin esok atau pun tahun depan, pelumba Malaysia boleh menang satu peringkat perlumbaan seperti yang dibuat oleh (pelumba TSG) Anuar Manan satu ketika dulu.
“Saya sangat kagum dengan prestasi pelumba-pelumba kebangsaan tahun ini yang datang daripada pelbagai pasukan seperti pasukan kebangsaan, TSG dan sebagainya,” katanya.
Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang peringkat ketujuh LTdL di Dataran Rembau di sini, hari ini.
Turut hadir Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman.
Pelumba Itali, Jakub Mareczko dari pasukan Wilier Triestina, memenangi perlumbaan hari ini manakala pelumba Amerika Syarikat, Travis McCabe dari pasukan UnitedHealthCare Pro Cycling Team di tempat kedua dan seorang lagi pelumba Itali, Andrea Palini dari pasukan Androni Giocattoli, di tempat ketiga.
Mengulas lanjut, Khairy menyifatkan peningkatan prestasi pelumba tempatan terutamanya pelumba kebangsaan setakat ini merupakan petanda positif untuk skuad lebuhraya kebangsaan sebelum menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos nanti.
Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan kelancaran pengelolaan kejohanan berkenaan oleh syarikat pengurusan acara berbasikal, Ciclista Sports Sdn Bhd. – BERNAMA

