REMBAU – Anggota pasukan penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara akan ditambah bagi memastikan keselamatan pengunjung dan penduduk berhampiran kawasan tumpuan pelancong terjamin.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APM, Sukiman Ahmad berkata langkah ini diambil bagi melancarkan operasi menyelamat di air.
“Walaupun setakat ini terdapat antara 3,000 hingga 4,000 anggota APM yang memiliki kepakaran mengendalikan pelbagai tugas di lapangan, tetapi ia tidak mencukupi.
“Penambahan anggota pasukan penyelamat pantai ini juga mengambil kira pelbagai kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini seperti fenomena air pasang besar di kawasan pesisir pantai di beberapa negeri yang boleh menyebabkan banjir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Rembau, di sini hari ini.
Katanya sehingga kini, terdapat kira-kira 260 anggota pasukan penyelamat pantai meliputi 44 menara penyelamat pantai di kawasan pelancongan dengan dilengkapi bot dan peralatan menyelamat di seluruh negara.
Sukiman berkata anggota pasukan penyelamat pantai ini dipilih dalam kalangan sukarelawan yang dilatih APM dan mereka perlu mengikuti kursus berenang, menyelamat di air dan pengendalian bot sebelum dipertimbangkan untuk diambil sebagai anggota pasukan tersebut.
Beliau berkata pasukan tersebut juga akan diperkuatkan dengan kemudahan canggih yang sesuai bagi menampung keperluan terkini dalam operasi menyelamat.
Mengenai pembukaan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Rembau, beliau berkata ia diharapkan dapat memenuhi piagam pelanggan iaitu tiba di lokasi kejadian dalam tempoh kurang 30 minit bagi jarak dalam lingkungan 10 kilometer dari pejabat operasi pertahanan awam. – BERNAMA

