KUALA LUMPUR – Cadangan melarang motosikal berkategori ‘kapcai’ daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur mendapat kritikan netizen sejak diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu majlis di ibu negara, semalam.
Tengku Adnan menjelaskan kerajaan masih meneliti cadangan tersebut yang dilihat sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon dalam bandar.
Menurutnya, kaedah larangan tersebut ketika ini merupakan satu usaha yang tepat kerana pengangkutan awam yang sedia ada kini terdapat dalam pelbagai pilihan dengan tambang yang amat berpatutan.
Pemerhatian Mynewshub di laman sosial mendapati rata-rata netizen menolak cadangan tersebut dan menganggap penggunaan motosikal adalah bersesuaian dengan keadaan pusat bandar yang dikenali dengan kesesakan lalu lintasnya.
Ada netizen menjelaskan penggunaan motosikal untuk masuk ke pusat bandar adalah satu kaedah untuk mengurangkan kos kehidupan yang semakin meningkat kini.
“Orang naik motor kerana nak jimatkan kos hidup. Kesian pada mereka yang tempat kerja atau rumahnya jauh dari kemudahan awam. Bertabahlah rakyat. Semoga Allah meringankan beban yang dihadapi semua,” tulis Syafawati Ikmal.
Malah, ada netizen yang membuat perbezaan antara pengunaan motosikal dan pengangkutan awam.
Bagi Nik Khairul Aiman, dia menjelaskan perbelanjaan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal hanya membelanjakan RM95 sebulan termasuk kos penyelenggaran dan boleh sampai ke pusat bandar dalam masa 40 minit pada waktu puncak.
Jelasnya, berbeza apabila menaiki pengangkutan awam, contohnya menaiki KTM dari Shah Alam ke KL Sentral dengan harga RM4.00 dan mengambil masa selama 45 minit untuk sampai ke destinasi.
“Tetapi anda tidak sampai terus di tempat kerja dan memerlukan RM2.00 lagi untuk menaiki LRT atau Monorel untuk sampai ke pejabat.
“Jadi kos sehari menaiki pengangkutan awam ini adalah RM12 ditambah lagi anda perlu keluar awal bagi mengelakkan daripada terlambat ke tempat kerja,” tulisnya.
Nik Khairul berrkata, dalam masa sebulan kos untuk menaiki pengangkutan awam adalah RM240 berbanding kos menaiki motosikal hanya RM95 sebulan.
Kebanyakan netizen menganggap penggunaan motosikal untuk masuk ke pusat bandar lebih memudahkan kerana lebih cepat sampai ke destinasi dan mudah diparkir berbanding kereta atau pengangkutan awam.
Menyentuh mengenai motosikal ‘kapcai’ yang sering digunakan penjenayah untuk melakukan jenayah khususnya ragut, netizen menganggap motosikal tersebut tidak bersalah sebaliknya individu yang menyalahgunakan kenderaan berkenaan untuk tujuan jahat.
“Hanya kerana ramai penjenayah menggunakan motor kapcai untuk samun atau merompak, tidak bermakna dengan melarang kenderaan itu boleh mengurangkan kadar jenayah.
“Penguatkuasaan undang-undang perlu dipertingkatkan untuk membanteras jenayah ragut menggunakan motosikal ini bukannya melarang motosikal tersebut masuk ke pusat bandar,” komen netizen.
Cadangan tersebut juga mendapat perhatian daripada Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia Abdul Rani Kulup Abdullah yang berkongsi pendapat di laman Facebooknya.
“Cadangan tersebut dianggap zalim dan rasis,” tulisnya.
Rata-rata netizen berharap cadangan tersebut tidak dilaksanakan kerana ia bukan memberi kebaikan sebaliknya akan menyukarkan lagi kehidupan rakyat terutamanya penunggang motosikal jenis ‘kapcai’.
Bagaimanapun, Tengku Adnan menjelaskan pelaksanaan larangan tersebut masih belum diputuskan susulan sebahagian pengguna motosikal berenjin kecil adalah terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. –Â MYNEWSHUB.CC
Nota: Video sekadar hiasan.