ALANGKAH terkejutnya pekerja sebuah hotel di Sandakan, Sabah apabila mendapati salah sebuah bilik seperti dilanda ‘tsunami’ selepas penginapnya keluar dari bilik tersebut.
Beberapa gambar keadaan bilik yang bersepah dan ditinggalkan dalam keadaan amat teruk itu dimuat naik oleh netizen menerusi laman Facebook baru-baru ini.
Keadaan dalam bilik tersebut amat mengejutkan apabila bukan sahaja keadaan cadar dan selimut dicampakkan di meja solek tetapi juga kipas dirosakkan selain pintu almari dicabutkan oleh penginap.
Lebih ‘tragis’ apabila penginap menggunakan kerusi untuk menutup tempat duduk tandas dan keadaan lantai yang dipenuhi dengan sampah dan sisa makanan.
Sememangnya keadaan bilik begitu teruk dengan televisyen diletak di atas tilam, kerusi di atas katil, kerusi di dalam bilik air dan kipas juga dicabut.
Perkongsian netizen turut mendedahkan nama penginap tersebut yang dikenali sebagai Mohd Naim Mansu yang merupakan seorang pelajar di sebuah universiti awam tempatan.
Netizen mengecam tindakan pelanggan tersebut dan mempersoalkan mentaliti mereka berkelakuan seperti ‘monyet’ yang tidak pernah tinggal di dalam hotel.
Ada juga yang mendakwa kemungkinan penginap tersebut mabuk sehingga menyebabkannya berkelakuan sedemikian.
Namun, ramai bersimpati dengan nasib tukang kemas bilik itu dan juga pemilik hotel berkenaan serta netizen mahukan individu yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya. – MYNEWSHUB.CC