KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpendirian konsert yang dicadangkan oleh artis Kristian dari Amerika Syarikat, Israel Houghton bersama kumpulannya di Sabah wajar dibenarkan untuk diteruskan sekiranya mendapat kelulusan diperlukan dan mematuhi peraturan berkuat kuasa.
Menurut beliau, menyokong kebebasan penganut Kristian di Sabah untuk menghadiri perhimpunan itu tidak bermaksud menyokong setiap pandangan peribadi atau politik yang dipegang oleh artis atau penghibur berkenaan.
“Pihak berkuasa mesti melaksanakan peraturan secara adil. Sekiranya terdapat halangan dari sudut undang-undang, perkara tersebut hendaklah dinyatakan dengan jelas.
“Sebarang kebimbangan keselamatan yang munasabah hendaklah ditangani dengan pihak polis mengambil langkah sewajarnya bagi mengekalkan keamanan dan melindungi mereka yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini
Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam Sabah sebelum ini membantah penganjuran konsert Israel & New Breed-Till The Whole World Knows Tour 2026 di Sabah.
Bantahan tersebut ekoran pendirian terbuka Israel Houghton menyatakan sokongan terhadap Israel yang didakwa boleh disemak menerusi hantaran media sosial artis antarabangsa tersebut.
“Antaranya terdapat hantaran yang memaparkan simbol Israel bersama kenyataan ‘I pray for the peace of Jerusalem. I stand with Israe,” kata USIA.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, bantahan semata-mata tidak seharusnya menjadi penentu sama ada sesuatu perhimpunan keagamaan boleh diadakan atau sebaliknya.
Katanya, setiap pihak mempunyai hak untuk tidak bersetuju dan menyatakan bantahan secara aman, namun mereka yang mahu menghadiri perhimpunan berkenaan juga berhak mendapat layanan yang adil serta dihormati.
Terdahulu, Mohd Shafie berkata, kekuatan Sabah sejak sekian lama terletak pada kehidupan rakyatnya yang hidup bersama merentasi kaum dan agama, yang menurutnya bukan sekadar slogan tetapi cara hidup diamalkan sejak beberapa generasi.
“Umat Islam, Kristian, Buddha dan penganut agama lain telah berkongsi bumi ini selama beberapa generasi. Menghormati kepercayaan antara satu sama lain termasuk memberikan kebebasan untuk berhimpun, berdoa, menyanyi dan menganjurkan program keagamaan selagi mematuhi undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shafie menyeru pihak berkuasa berkaitan supaya memudah cara penganjuran acara berkenaan selepas semua syarat dan keperluan dipenuhi, selain meminta semua pihak mengamalkan sikap menahan diri dan saling menghormati. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto/Kenyataan Media: Akaun Media Sosial Shafie Apdal


