LONDON – Kecekapan juruterbang berjaya menyelamatkan sebuah pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) daripada nahas buruk ketika dalam perjalanan dari London ke Kuala Lumpur.
Pesawat penerbangan MH01 itu dilaporkan selamat selepas terpaksa berpatah balik ke ibu kota Britain tersebut selepas salah sebuah pintu pesawat penumpang terbesar dunia Airbus A380 itu dikatakan bergegar dengan kuat.
Lencongan aneh itu turut dikesan oleh laman penjejakan pesawat terkenal, FlightRadar.com yang menunjukkan pesawat tersebut berpatah balik sebelum tiba Budapest, ibu negara Hungary sejurus setelah berlepas dari London.
Menurut kenyataan MAB yang dipetik oleh agensi berita MediaCorp Singapura, pintu pesawat super jumbo dengan nombor badan 9M-MNB itu mula mengalami situasi gegaran apabila ia mula berada di ruang udara Jerman.
“Bunyi gegaran pintu pesawat itu tidak membawa risiko serta-merta,” kata kenyataan MAB lagi. Ia asalnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pukul 9.58 malam Rabu (5.58 pagi Khamis waktu Malaysia).
Pesawat selamat mendarat di London sebelum diperiksa oleh pasukan jurutera dan kakitangan teknikal syarikat Airbus. Namun kenyataan tersebut tidak menyatakan bilakah pesawat itu menyambung semula penerbangannya.
Tambah kenyataan MAB lagi, “Demi keselamatan para penumpang, kapten pesawat MH01 bertindak membuat keputusan dramatik untuk berpatah balik ke Heathrow dan tidak meneruskan penerbangan itu ke Kuala Lumpur.”
Baca: Imej Islam – MAB Bakal Sewa A380 Untuk Haji, Umrah
Laman FlightRadar.com menunjukkan pesawat MH01 itu menukar laluan apabila ia berada di Laut Utara dekat Belanda setelah melalui ruang angkasa Slovakia, Republik Czech dan Jerman sebelum berpatah balik ke London.
Penerbangan rutin pesawat MAB itu lazimnya mengambil masa 12 jam 30 minit dan ia sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor kira-kira pukul 6.25 petang Khamis.
Pada 5 Jun lalu, sebuah pesawat MH01 nyaris terhempas apabila dibadai gelora pusaran di Teluk Bengal dekat Bangladesh sehingga menyebabkan hampir 400 penumpang dan kru cedera tetapi ia selamat tiba di KLIA.
MAB merupakan antara syarikat penerbangan antarabangsa yang paling mendapat perhatian luas masyarakat dunia ekoran tragedi buruk berganda melibatkan dua buah pesawatnya iaitu MH370 dan MH17 pada tahun 2014 lalu.
MH17 dari Amsterdam, Belanda ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, manakala pesawat MH370 hilang secara misteri ketika dalam perjalanan dari KLIA ke Beijing, China pada 8 Mac dan gagal ditemui hingga sekarang.
Untuk rekod, MAB setakat ini memiliki enam buah Airbus A380 untuk perjalanan destinasi jarak jauh namun ia bakal dijadikan pesawat khas operasi penerbangan sewa khas perkhidmatan umrah dan haji mulai tahun depan.
Syarikat ditubuhkan sejak 1947 itu pernah mencatatkan kerugian besar dan kini merekodkan keuntungan setelah diambil alih oleh sayap pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA