PETALING JAYA – Gara-gara membantu menyembunyikan wang dalam urusan jual beli kenderaan di laman web Mudah, seorang juruteknik didenda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Salamiah Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Chin Wei Shing, 26, setelah dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM3,500.
Bagi pertuduhan pertama dia didakwa menolong menyembunyikan wang RM500 milik T. Vija Kumar, 39, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya yang mana dia mengetahui wang itu bukan miliknya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank CIMB, Jalan Puteri 1/1, Bandar Puteri Puchong, di sini pada 8.28 malam, 20 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Chin didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM3,000 milik Nur Sakinah Diyanah Abdullah, 25, ke dalam akaun bank miliknya di Zeva Residence, Taman Pinggiran Putra, Serdang, di sini pada 6.51 petang, 8 Mei lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan yang dihadapi mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Tertuduh yang diwakili peguam Esther Tan memohon hukuman berbentuk denda atas alasan tiada kecederaan atau keganasan telah berlaku dalam kes ini.
Di mahkamah sama, seorang bekas penjaga pusat kecantikan didenda RM1,200 atau penjara 21 hari selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan pusat kecantikan tanpa lesen yang sah.
Lee Chen Aun, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Kecantikan Good Luck, Jalan OP 1/3, Pusat Perdagangan One Puchong, Puchong Jaya, di sini pada 9 malam, 16 November lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (2007) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Khairul Aisamuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala tertuduh yang diwakili peguam Mohd Shazwan Mohd Hasan merayu hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya hanya bekerja separuh masa di premis kecantikan tersebut dan perlu menanggung seorang anak berusia 15 tahun. – BERNAMA

