KUALA LUMPUR – Stok akhir minyak sawit negara pada September yang berjumlah 1.55 juta tan, adalah yang terendah dicatatkan sejak Januari 2011, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.
Beliau berkata purata stok akhir minyak sawit negara bagi tempoh Januari hingga September turut menurun kepada 1.82 juta tan berbanding 2.15 juta tan bagi tempoh sama pada tahun lepas.
“Kesan daripada kejatuhan stok minyak sawit yang ketara itu, harga minyak sawit mentah (MSM) telah menunjukkan arah aliran meningkat di pasaran,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (Gerakan-Simpang Renggam) mengenai jumlah terkini stok MSM dan langkah kementerian dalam menangani isu penurunan harga kelapa sawit.
Katanya harga MSM dicatatkan pada RM2,862 setan pada September 2016 berbanding RM2,591.50 setan pada Ogos 2016 manakala purata harga MSM pada Januari hingga September dicatatkan pada RM2,556 setan berbanding RM2,150.50 setan bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Datu Nasrun berkata walaupun harga MSM berada pada paras yang stabil, kerajaan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk memastikan sebarang penurunan harga minyak sawit tidak memberi kesan kepada pengguna dan industri.
Katanya antara langkah yang diperkenalkan ialah melaksanakan program B10 – adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum, dalam sektor pengangkutan untuk meningkatkan lagi permintaan terhadap minyak sawit.
Beliau berkata kerajaan menyediakan dana sebanyak RM100 juta bagi Skim Insentif Tanam Semula Sawit 2015 yang bertujuan mengurangkan pengeluaran MSM dan menyumbang kepada penurunan paras stok minyak.
Selain itu, katanya kerajaan turut meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam menghasilkan produk baharu berasaskan sawit seperti tokotrienol dan minyak sawit merah untuk dikomersialkan oleh pihak industri.
Katanya kerajaan juga mengambil langkah untuk mengukuhkan pasaran eksport sedia ada dan menembusi pasaran baharu melalui misi promosi dan teknikal ke luar negara.
“Di peringkat antarabangsa, Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama melalui penubuhan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi membangun dan mengukuhkan industri sawit,” katanya.
Katanya kementerian akan terus meninjau langkah jangka pendek dan panjang ke arah mengukuhkan harga komoditi sawit. – BERNAMA

