KUALA LUMPUR – PAS menolak pelawaan kerjasama oleh parti politik tertentu kerana menyedari kewujudan pihak yang memperjuangkan hak dan persamaan taraf dengan melampau.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak berkenaan telah merosakkan nilai kemasyarakatan dan peradaban manusia sehingga `mencabut’ nilai asas manusia.
“Perjuangan itu telah merosakkan nilai peradaban manusia sehingga lahir golongan tanpa segan silu menuntut perkahwinan sejenis.
“Manusia tidak boleh dibiarkan bertindak dengan bebas sehingga menganggap dirinya sebagai Tuhan yang boleh melakukan apa sahaja sehingga tiada pertimbangan hukum halal haram, dosa dan pahala,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Pakatan Harapan baru-baru ini gembira dengan kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali yang mendakwa PAS sedia untuk berbincang dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi menjalin kerjasama.
“Mustafa Ali di program PAS yang dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PAS sedia berbincang dengan Bersatu dan PKR. Saya anggap ini satu perkembangan positif ke arah pembentukan gabungan pembangkang yang lebih kuat,” kata Saifuddin.
PKR sejak awal tahun ini bersungguh-sungguh memujuk PAS supaya kembali menyertai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) meskipun dibantah oleh kedua-dua parti berkenaan.
PKR bersikap demikian kerana bimbang akan kehilangan undi penyokong PAS yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.
Polemik diantara PAS dan Pakatan Harapan bagaimanapun semakin meruncing apabila ramai pemimpin DAP dan PAN secara terbuka membantah usaha PAS untuk meminda akta 355 bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini. – mynewshub.cc

