KUALA NERUS – Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes penyebaran video yang memaparkan seorang wanita dipukul dalam keadaan bogel di sebuah hotel di Sungai Golok, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata suspek akan ditahan dalam waktu terdekat.
Katanya, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.
“Siasatan meliputi semua aspek sedang dilaksanakan dan kita turut menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital berhubung kecederaan yang dialami mangsa,” katanya.
Noor Rashid meminta masyarakat menghentikan budaya menyebarkan atau memviral berita, gambar dan video di media sosial sehingga mendatangkan aib kepada seseorang.
Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang dikesan berbuat demikian, katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian penutup perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Shafruddin Ali Hussin, Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Rusli Ahmad.
Noor Rashid berkata bagi menghalang perbuatan itu dari terus berleluasa pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Semalam, anggota keluarga seorang wanita berusia 26 tahun yang dipercayai berasal dari negeri di Pantai Timur membuat laporan polis dan merayu orang ramai agar menghentikan penyebaran video berkenaan. – BERNAMA
Nadia Nordin Bogelkan, Belasah Skandal Suami oleh mynewshub