BERA – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) kini mempergiat usaha mendidik orang ramai mengenai aspek penjagaan kesihatan yang berkesan semasa menghadapi banjir di kawasan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata dari segi persediaan menghadapi banjir, petugas kesihatan memberikan tumpuan kepada tiga peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas bencana banjir.
“Secara logiknya banjir akan berlaku antara bulan Oktober dan Disember, jadi kita pergiat aktiviti pendidikan ini untuk orang ramai mulai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menaiki bot dari Jeti Esplanade Temerloh ke Jeti Kuala Triang sempena Program Menghilir Sungai Pahang Kesiapsiagaan Pasukan Kesihatan Prabanjir 2016 di sini hari ini. Turut serta Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar.
Norol Azali berkata antara pendekatan yang diambil untuk pelaksanaan aktiviti pendidikan itu adalah dengan cara mengedarkan risalah dan mengadakan sesi ceramah serta hebahan menerusi media.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri juga sudah siap sedia sepenuhnya bagi menghadapi banjir antaranya dengan meningkatkan kapasiti kemudahan pengangkutan air.
“Selain mengukuhkan jentera bagi pergerakan petugas kesihatan di jalan darat seperti menyediakan kenderaan pacuan empat roda yang mencukupi, kami juga mengambil kira kerja mencabar petugas kesihatan di laluan air,” katanya.
Norol Azali berkata Jabatan Kesihatan negeri akan memastikan aset sungai seperti enjin dan badan bot sentiasa berada dalam keadan baik dan setakat ini terdapat 18 bot di Pejabat Kesihatan Daerah seluruh negeri.
Mengenai program dua hari itu, Norol Azali berkata petugas kesihatan terlibat akan menaiki bot melawat ke klinik kesihatan berhampiran sungai yang antara lain untuk mengenal pasti masalah penduduk setempat serta menilai keperluan anggota kesihatan.
Lokasi yang dipilih adalah yang akan mendapat kesan daripada banjir seperti Lebak Seberang, Kuala Triang, Lubuk Paku, Kuala Wau, Belimbing, Mambang dan Kuala Pahang, katanya. – BERNAMA

