BALIK PULAU – Waktu kerja fleksibel bagi wanita adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh majikan dalam usaha membantu mereka mengimbangi masa menguruskan keluarga dan tanggunjawab sebagai pekerja.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata dengan adanya waktu kerja yang fleksibel, ia memudahkan kaum hawa untuk menunaikan tanggungjawab kepada keluarga.
“Apabila waktu bekerja itu fleksibel seperti wanita itu masuk kerja pukul 10 pagi dan pulang pada 6 petang, maka dia (wanita) ada masa untuk uruskan anak dan keluarga terlebih dahulu sebelum keluar bekerja.
“Pengurusan waktu kerja fleksibel diperlukan wanita bekerjaya,” katanya selepas merasmikan Majlis Jelajah Zon Utara dan Pra-sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di Politeknik Balik Pulau di sini hari ini.
Rohani berkata pertimbangan itu perlu diberi kepada wanita agar mereka yang bekerjaya dapat merasai kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu pada masa yang sama.
Dalam perkembangan lain, Rohani berkata kementerian akan mengenal pasti wanita yang dilihat ‘ketinggalan’ atau ‘kebelakang’ bagi membantu mereka menangani permasalahan yang dihadapi.
“Subjek ini sangat luas sama ada ketinggalan dari segi peluang, hak dan kesaksamaan. Saya mahu mengatasi masalah ini. Kita akan berbincang dengan pegawai yang menjaga hal ehwal wanita di setiap kementerian untuk mengetahui maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya. – BERNAMA

