KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor telekomunikasi dijatuhi hukuman penjara dua bulan kerana menyebabkan kecederaan terhadap bekas teman wanitanya dengan kunci motosikal bulan lepas.
R. L. Yokeswaran, 33, mengaku bersalah kerana dengan sengaja mencederakan P. Thilagah, 30, di Mapple Inn Hotel di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini pada 5 petang 10 Julai.
Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor memerintahkan Yokeswaran menjalani hukuman itu mulai hari ini.
Dalam rayuannya, Yokeswaran memohon kepada mahkamah supaya mengurangkan hukuman memandangkan bapanya baru sahaja meninggal dunia dan dia menyesali perbuatannya itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fadhly Mohd Zamry meminta mahkamah mengenakan hukuman yang boleh menjadi pengajaran kerana Yokeswaran menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala. – BERNAMA

