KUALA LUMPUR – PAS akhirnya membuktikan bahawa mereka bukan sekutu Pakatan Harapan setelah membentuk blok Gagasan Sejahtera apabila tidak menggalakkan ahlinya menyertai perhimpunan #TangkapMO1 pada Sabtu.
Himpunan haram disokong parti-parti komponen Pakatan Harapan dan badan antikerajaan BERSIH berdasarkan logo tertera pada kain pemidang dibawa peserta terbabit dijangka gagal mendapat sambutan rakyat yang semakin meluat dengan sikap jelik pembangkang.
Menurut portal tempatan, perkara tersebut disahkan sendiri oleh Penolong Setiausaha Agung 1 PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang menyatakan tidak arahan rasmi diterima daripada saf pimpinan atasan untuk turun dalam demonstrasi tanpa permit pihak berkuasa itu.
“Setakat ini belum lagi ada arahan. Saya tidak boleh respons untuk soalan itu. Kita lazimnya hanya akan tunggu arahan yang langsung daripada setiausaha agung, Datuk Takiyuddin Hassan,†kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara pada Jumaat.
Himpunan #TangkapMO1 itu dianjurkan oleh gabungan mahasiswa propembangkang konon untuk mendesak pihak berkuasa segera menahan individu dirujuk sebagai MO1 yang dinyatakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat baru-baru ini terlibat dalam salah laku.

Mereka merancang untuk menjadi Dataran Merdeka di ibu negara sebagai kawasan untuk berhimpun. Bagaimanapun tiada pula himpunan serupa untuk mendesak pemimpin terkenal DAP, Lim Guan Eng meletak jawatan susulan kes skandal hartanah terburuk di Pulau Pinang.
Langkah PAS mengarahkan lebih sejuta ahlinya memulaukan himpunan #TangkapMO1 dijangka menyebabkan sambutan demonstrasi haram itu hambar sebagaimana dilakukan parti itu ketika memboikot Bersih 4.0 yang berlangsung menjelang Hari Kebangsaan 2015 lalu.
Ini menyaksikan cuma 20,000 orang, majoriti peserta adalah bukan Melayu; sanggup ‘meriahkan’ Bersih edisi keempat itu berbanding Himpunan Rakyat Bersatu atau Baju Merah disokong PAS pada Hari Malaysia 2015 menerima kehadiran luar biasa lebih 200,000 orang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang ingkar dengan larangan mengadakan perhimpunan #TangkapMO1 dan penganjurnya juga jelas tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau malah mengingatkan bahawa tiada kebenaran diberikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk penggunaan Dataran Merdeka, apatah lagi ia menjadi lokasi utama sambutan perarakan Hari Kebangsaan 2016 pada Rabu ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

