KUANTAN – UMNO Pahang akan mengadakan sesi penerangan berhubung tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diselewengkan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sesi penerangan itu akan melibatkan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan pakar undang-undang supaya rakyat menerima maklumat tepat serta sahih dalam isu berkenaan.
“Saya juga mengikuti perkembangan dan meneliti serta telah membaca keseluruhan 136 halaman dokumen itu sebelum membuat kenyataan. Kita kena ikutinya dengan hati terbuka … siasat dan baca elok-elok. Biar undang-undang lakukan apa yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Suratan Hak Milik Tanah Peneroka Peringkat 003 Felda Sungai Panching Timur kepada 63 peneroka di tanah rancangan itu, di sini hari ini.
Adnan yang juga Menteri Besar Pahang berkata UMNO Pahang terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun Presiden UMNO itu pada masa kini diseret ke dalam fitnah isu 1MDB.
“Sokongan ini bukan bersifat peribadi atau emosi sebaliknya secara rasional. Sejarah UMNO sendiri menunjukkan anggota wajib menyokong presiden,” katanya.
Ketika berucap pada majlis itu, Adnan menasihati peneroka yang mendapat suratan hak milik tanah untuk tidak sewenang-wenangnya menjual atau menukar hak milik tanah itu kerana dokumen itu merupakan ‘hasil penat lelah mereka menjadi peneroka’. – BERNAMA

