SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam nada lembut ketika berkempen malam ini mendakwa beliau datang ke Negeri Sembilan bukan untuk menyerang mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu menjelaskan rekod kerajaan.
Namun, sejurus membuat kenyataan itu, beliau terus membangkitkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji yang didakwa melibatkan kerugian RM12 bilion dan menyifatkannya sebagai ‘sakau’
Anwar berkata, walaupun ada pihak mendakwa istilah “sakau” tidak disebut dalam laporan berkenaan, dapatan mengenai salah guna kuasa, mungkin rasuah, penyelewengan serta pelanggaran tatacara dan audit sudah memadai untuk disifatkan sebagai “sakau”
“Malam ini malam terakhir. Saya tidak bercakap panjang kerana kita dah dengar kempen. Kita bukan datang untuk serang sesiapa. Kita nak terangkan rekod kita. Kita memerintah lebih tiga setengah tahun. Betulkan umpamanya dua hari sudah keluar laporan Suruhanjaya (RCI) Tabung Haji. Ya, rugi.
“Tak apalah, macam-macam orang nak beri pandangan kerana dia kata istilah “sakau” tak ada. Betul, istilah “sakau” tak ada. Salah guna kuasa, kemungkinan rasuah, penyelewengan, tak ikut aturan, tak ikut audit. Itu berertinya apa? Sakau lah tu,” katanya.
Nada perlahan Anwar itu namun tidak bertahan lama apabila bertukar keras ketika mengulangi dakwaannya mengenai kerugian FELDA dan isu 1MDB.
“Tabung Haji, FELDA, dulu 1MDB. Cina mana yang salah? Cina mana yang kacau sebab Tabung Haji rugi atau FELDA? Bukan Cina. Orang India? India pun tidak. Ini urusan orang Melayu.
“Sebab itu tanya saya, saya orang Melayu. Saya nak tunjukkan ramai orang Melayu yang layak, ramai orang Melayu yang bersih,” katanya. – MYNEWSHUB


