SINGAPURA – Mata saya tertumpu melihat gambar segak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee siap bertengkolok di muka depan akhbar Berita Harian Singapura pada Rabu.
“Siapa kata P. Ramlee hidup ‘merempat’? Muka 10.” Masthead akhbar tempatan itu membariskan tajuk tersebut bersama dua lagi tajuk menarik untuk tatapan pembaca.
Laju tangan saya menyelak akhbar itu untuk membaca apakah jawapan sebenar tentang penghujung kehidupan anak seni yang nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh yang digembar gembur akhir-akhir ini.
Sejauh mana benarnya dakwaan yang menjadi ‘viral’ dalam media sosial bahawa Allahyarham pernah hidup merempat?, penulis akhbar berbahasa Melayu itu, Nur Dhuha Esoof memulakan tulisannya.
Menurut penulis itu, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbitan Metrowealth International Group, Mejar David Teo mengenai seniman tersohor itu baru-baru ini menarik reaksi hebat penggiat seni di seberang Tambak dan tanah air.
Sehinggakan penulis lirik mapan Singapura, Yusnor Ef tampil untuk berkongsi pendapat beliau akan kenyataan Teo.
Yusnor menganggap Allahyarham P. Ramlee sebagai rakan karib dan mentornya dipetik sebagai berkata mungkin niat Teo itu adalah baik, cuma contoh yang diberikan agak kurang sesuai.
“Beliau menggunakan seorang seniman besar yang telah banyak memberi sumbangan kepada industri filem dan muzik sebagai contoh. Tak kenalah beliau memberi contoh itu,” Yusnor dipetik sebagai berkata.
Beliau yang tersinggung dengan kenyataan Teo menambah: “Saya berguru dengan P. Ramlee. Beliau kata karya adalah satu daripada kerja Tuhan, buat sungguh-sungguh dengan penuh kejujuran. Beliau tidak jadikan duit satu matlamatnya.”
Yusnor juga berkata P. Ramlee tidak hidup melarat seperti yang dilaporkan.
“Beliau pun ada rumah, ada kereta. Beliau malah hidup selesa tetapi tidaklah macam artis sekarang. Kalau bandingkan beliau dengan jutawan, saya rasa tak kena,” kata Yusnor.
Akhbar itu juga memetik tulisan pelakon dan pengarah, Melissa Saila yang juga anak pelakon veteran, Mariani dan anak saudara Biduanita Negara, Puan Sri Saloma, yang juga isteri kepada P. Ramlee, di Facebooknya.
“P. Ramlee mungkin miskin di penghujung hidupnya, namun beliau menjadikan hidup orang lain ‘kaya’ dengan karya-karyanya,” tulis Melissa.
“P. Ramlee seniman, bukan ahli perniagaan yang cuma nak kaut duit. Beliau tak kaya harta tapi bukan papa kedana. Cuma beliau tak sayang duit sampai nak bawa ke lubang kubur dan tak reti nak kayakan diri tapi kayakan seni.”
Selain Melissa, akhbar itu turut memetik kenyataan Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi dan pengarah, pelakon dan pengacara, Afdlin Shauki yang turut tidak bersetuju dengan pandangan Teo itu.
Sebuah portal menyiarkan kenyataan Teo yang berpesan kepada artis supaya mementingkan sumber kewangan berbanding populariti dalam bidang seni dengan beliau membandingkan kehidupan P. Ramlee yang susah ketika di penghujung usia.
Di muka surat 10 ruangan GAH! yang sama, akhbar Singapura itu turut memuatkan kenyataan Teo yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya terhadap Seniman Agung itu.
Memetik portal mStar Online, akhbar itu berkata Teo yang berada di Beijing, China membuat kenyataan secara bertulis menerusi laman web rasmi Metrowealth pada 11 Julai lalu.
“Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua terutamanya kaum keluarga Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan seluruh penggiat seni tanah air yang terguris dengan isu yg sedang diperkatakan sekarang.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.”
Baru minggu lalu ketika Hari Raya Puasa, saya dan keluarga masih tertawa walau telah menonton berulang-ulang kali salah satu filem arahan P. Ramlee iaitu Bujang Lapok.
Malah dialog-dialog lucu antara ‘Ramli, Sudin dan Ajis’ itu boleh diingati dengan mudah hingga kini.
Belum lagi bait bait puitis lagu yang menyentuh hati nyanyian beliau yang mungkin menyamai pengorbanan beliau dalam dunia seni selama ini.
“Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia, kepentingan sendiri, tidak diingini, bahagia kekasih, saja yang diharapi.” – BERNAMA
Oleh: Massita Ahmad (Pewarta Bernama Singapura)

