PUTRAJAYA – Lembaga Peperiksaan (LP) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang tular di media sosial.
Menurut LP, hasil penelitian mendapati maklumat yang disebarkan sebenarnya merupakan senarai tema umum dan ramalan berdasarkan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
LP menjelaskan, persamaan tema atau kata kunci dengan instrumen peperiksaan sebenar tidak boleh dijadikan bukti bahawa berlaku kebocoran soalan.
Ini kerana sesuatu tema boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk soalan, situasi dan tugasan yang berbeza.
“Persamaan tema atau kata kunci dengan instrumen peperiksaan sebenar tidak membuktikan berlakunya kebocoran soalan,” menurut kenyataan itu.
LP turut menegaskan bahawa proses penyediaan dan pengendalian instrumen peperiksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, semua proses berkenaan mematuhi aspek keselamatan dan kerahsiaan selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Sehubungan itu, LP mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya, khususnya berkaitan peperiksaan awam.
Pada masa sama, calon SPM 2026 dinasihatkan supaya kekal tenang dan memberikan sepenuh tumpuan terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung tanpa terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas.
LP menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti peperiksaan SPM 2026 terus terpelihara bagi menjamin keadilan kepada semua calon. -MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lembaga Peperiksaan Rasmi


