KUALA LUMPUR – Syarikat konsesi Lebuh Raya Shah Alam (LSA) memberi diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada pengguna lebuh raya berkenaan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Kesas Sdn. Bhd. (Kesas) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, diskaun tol itu boleh dinikmati dari pukul 12.01 pagi hingga 11.59 malam pada 6 Julai ini.
“Diskaun ini untuk pengguna LSA yang menggunakan transaksi bayaran tol secara elektronik. Dengan ini harga tol RM2 akan menjadi RM1.80 pada hari tersebut.
“Diskaun ini satu penghargaan Kesas kepada pengguna LSA. Pengguna juga digalakkan untuk membuat bayaran tol secara elektronik supaya perjalanan lebih lancar dan mudah,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Imran Gulcharan Abdullah dalam kenyataan itu.
Beliau seterusnya berkata, dianggarkan hampir 420,000 pengguna LSA akan memperoleh manfaat kepada pemberian diskaun tol tersebut melibatkan subsidi tol oleh Kesas sebanyak RM42,000.
“Pemberian diskaun tol LSA sempena hari perayaan sejak tahun 2010 hingga 2015 melibatkan sebanyak RM1.5 juta subsidi tol,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

