JOHOR BAHRU – Pelakon Shahrol Shiro tampil dengan kenyataan sinis berhubung ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat memilih pemimpin yang tidak sombong.
Menerusi satu video dimuat naik di media sosial malam tadi, Shahrol Shiro yang juga pelawak terkenal berseloroh kononnya beliau menyokong kenyataan Anwar.
Shahrol Shiro dalam nada sarkastik turut menegaskan beliau yakin kenyataan Perdana Menteri itu bukan ditujukan kepada Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
“Kali ini saya menyokong kenyataan PMX. Bila kita jadi ketua, jangan sombong. Fikir orang bawah. Jelas dalam ucapan PMX tersebut ia ditujukan kepada pemimpin yang sombong dan tidak memikirkan orang bawahan. Jadi, bukanlah Onn Hafiz.
“Onn Hafiz fikir tentang orang bawah yang tidak mahukan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)-DAP. Sebab itulah Barisan Nasional (BN) Johor bergerak solo. Onn Hafiz fikir tentang orang bawah yang mahu kebajikan mereka terbela,” katanya menerusi rakaman video tersebut.
Shahrol turut menegaskan bahawa kenyataan Perdana Menteri itu bukan ditujukan kepada Menteri Besar Johor kerana kepimpinan Onn Hafiz menumpukan kepada pelaksanaan dasar serta kebajikan rakyat berbanding berpolitik.
Dalam nada yang lebih sinis, Shahrol turut menyenaraikan isu seperti harga minyak, tol, pendidikan percuma dan kos sara hidup sebelum membayangkan bahawa pemimpin yang dimaksudkan Anwar mungkin terdiri dalam kalangan pemimpin PH.
“Jadi jelaslah kenyataan PMX tersebut bukan ditujukan kepada Onn Hafiz, tetapi kepada pemimpin yang tidak memikirkan orang bawah. Orang bawah nak harga minyak turun, dia tak fikir.
“Orang bawah nak tol dan pendidikan percuma, dia tak fikir. Orang bawah nak harga barang turun, dia tak fikir. Jadi, mungkin pemimpin yang sombong dalam ucapan PMX tersebut ialah pemimpin PH. Terbaik PMX, berani bersuara,” sindirnya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber info/foto: Akaun media sosial Shahrol Azizie Azmi


