KUALA LUMPUR – Sebanyak 274 pasar tani khas sempena kedatangan Syawal akan beroperasi di seluruh negara bermula 1 Julai ini, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak.
Beliau berkata pasar tani khas berkenaan akan berlangsung tiga hari berturut-turut sehingga 3 Julai bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Semua bekalan barangan keperluan asas seperti ayam, daging, santan, telur, sayur dan buah-buahan adalah mencukupi bagi menghadapi musim perayaan kali ini,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Terus Dari Ladang dan Kilang di sini hari ini.
Katanya, FAMA telah bersedia lebih awal dan semua bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi.
Ahmad berkata sehingga kini terdapat 625 pasar tani di seluruh negara namun daripada jumlah itu, hanya 274 lokasi dikenal pasti akan beroperasi pada tiga hari berkenaan.
“Sejumlah 274 lokasi itu dibuka pada hari yang betul-betul hampir dengan persiapan Syawal, ada lokasi lain yang dibuka tetapi bukan pada hari berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata FAMA turut mengadakan program Promosi dan Jualan Usahawan Industri Asas Tani (IAT) sempena Bazar Aidilfitri dan menyasarkan jumlah keseluruhan nilai jualan RM3.5 juta bagi 2016.
Mengenai program Jualan Terus Dari Ladang dan Kilang, Ahmad berkata ia bertujuan memperkenal dan mempromosi produk segar dengan harga berpatutan kepada pengguna.
“Jualan pada harga istimewa daripada lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa, sekali gus mengurangkan penglibatan orang tengah,” katanya. – BERNAMA