PADANG BESAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengimport 650 tan kelapa tua bagi menampung keperluan permintaan menjelang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, khususnya di sekitar negeri di Pantai Timur
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Shahrizan Sudiman berkata, selain diimport dari Indonesia, pihaknya turut mendapatkan bekalan kelapa dari Sabah dan Sarawak.
“Buat masa ini, bekalan sudah sampai dan kita menyedari bahawa kekurangan bekalan kelapa tua ini didapati banyak berlaku di kawasan Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Forward Agreement Mangga dan Buah-Buahan Bermusim Negeri Perlis di Pusat Agropelancongan Yusof Awang (YA) Harumanis di Kampung Baru Panggas, Chuping, di sini.
Dalam pada itu, Shahrizan menegaskan kekurangan bekalan kelapa tua yang berlaku bukanlah membabitkan banyak tempat atau kawasan.
“Tidak semua kawasan mengalami masalah ini kerana ada tempat terutamanya dari segi harga santan tidaklah meningkat seperti didakwa.
“Sebagai contoh harga santan di Sanglang baharu RM13 sekilogram berbanding di sesetengah kawasan yang mencecah sehingga RM20.
“Harga santan ini tidak menentu di beberapa kawasan melainkan kawasan pengeluaran santan atau kawasan pelabuhan dimana import kelapa ini dilakukan dimana harganya masih stabil,” katanya.
Dalam menangani isu kekurangan bekalan itu di Perlis pula, FAMA negeri menjalankan pelan intervensi bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga kelapa tua bermula 5 Februari lalu.
Pengarahnya, Mohd Anzara Azizan berkata Pusat Operasi FAMA negeri menerima tiga tan kelapa setiap bulan untuk peringkat permulaan intervensi daripada Pusat Operasi Simpang Pulai yang dijadikan pusat pengumpulan zon utara.
“Bekalan diterima akan diedarkan di 24 outlet pemasaran FAMA iaitu Agrobazaar Kedai Rakyat dan Agrobazaar Rakyat serta enam orang pengusaha santan di seluruh negeri Perlis,” katanya.
-Berita Harian